Surah Al-Noor
Sesungguhnya
orang-orang yang membawa berita yang amat dusta itu ialah segolongan
dari kalangan kamu; janganlah kamu menyangka (berita yang dusta) itu
buruk bagi kamu, bahkan ia baik bagi kamu. Tiap-tiap seorang di antara
mereka akan beroleh hukuman sepadan dengan kesalahan yang dilakukannya
itu dan orang yang mengambil bahagian besar dalam menyiarkannya di
antara mereka, akan beroleh seksa yang besar (di dunia dan di akhirat).
(11) Sepatutnya
semasa kamu mendengar tuduhan itu, orang-orang yang beriman lelaki dan
perempuan, menaruh baik sangka kepada diri (orang-orang) mereka sendiri.
dan berkata: Ini ialah tuduhan dusta yang nyata. (12) Sepatutnya
mereka (yang menuduh) membawa empat orang saksi membuktikan tuduhan
itu. Oleh kerana mereka tidak mendatangkan empat orang saksi, maka
mereka itu pada sisi hukum Allah, adalah orang-orang yang dusta. (13) Dan
kalaulah tidak kerana adanya limpah kurnia Allah dan rahmatNya kepada
kamu di dunia dan di akhirat, tentulah kamu dikenakan azab seksa yang
besar disebabkan kamu turut campur dalam berita palsu itu. (14) Iaitu
semasa kamu bertanya atau menceritakan berita dusta itu dengan lidah
kamu, dan memperkatakan dengan mulut kamu akan sesuatu yang kamu tidak
mempunyai pengetahuan yang sah mengenainya dan kamu pula menyangkanya
perkara kecil, pada hal ia pada sisi hukum Allah adalah perkara yang
besar dosanya. (15) Dan
sepatutnya semasa kamu mendengarnya, kamu segera berkata: Tidaklah
layak bagi kami memperkatakan hal ini! Maha Suci Engkau (ya Allah dari
mencemarkan nama baik ahli rumah Rasulullah)! Ini adalah satu dusta
besar yang mengejutkan. (16) Allah
memberi pengajaran kepada kamu, supaya kamu tidak mengulangi perbuatan
yang sedemikian ini selama-lamanya, jika betul kamu orang-orang yang
beriman. (17) Dan
Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan (hukum-hukumNya);
kerana Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana. (18) Sesungguhnya
orang-orang yang suka terhebah tuduhan-tuduhan yang buruk dalam
kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang
tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat dan (ingatlah) Allah
mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang
demikian). (19) Dan
kalaulah tidak kerana adanya limpah kurnia Allah dan rahmatNya kepada
kamu, dan juga (kalaulah tidak kerana) bahawa Allah Amat melimpah belas
kasihanNya, (tentulah kamu akan ditimpa azab dengan serta-merta). (20)
Comments
Post a Comment