Surah Al-Noor
Wahai
orang-orang yang beriman, janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan;
dan sesiapa yang menurut jejak langkah Syaitan, maka sesungguhnya
Syaitan itu sentiasa menyuruh (pengikut-pengikutnya) melakukan perkara
yang keji dan perbuatan yang mungkar dan kalaulah tidak kerana limpah
kurnia Allah dan rahmatNya kepada kamu, nescaya tidak ada seorang pun di
antara kamu menjadi bersih dari dosanya selama-lamanya; akan tetapi
Allah membersihkan sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang
peraturanNya) dan (ingatlah!) Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui
(21) Dan
janganlah orang-orang yang berharta serta lapang hidupnya dari kalangan
kamu, bersumpah tidak mahu lagi memberi bantuan kepada kaum kerabat dan
orang-orang miskin serta orang-orang yang berhijrah pada jalan Allah
dan (sebaliknya) hendaklah mereka memaafkan serta melupakan kesalahan
orang-orang itu; tidakkah kamu suka supaya Allah mengampunkan dosa kamu?
Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani. (22) Sesungguhnya
orang-orang yang menuduh perempuan-perempuan yang terpelihara
kehormatannya, yang tidak terlintas memikirkan sebarang kejahatan, lagi
yang beriman, akan dilaknat (oleh Allah) di dunia dan di akhirat dan
mereka pula akan beroleh azab seksa yang besar; (23) Pada
hari lidah mereka dan tangan mereka serta kaki mereka menjadi saksi
terhadap diri mereka sendiri, tentang segala yang mereka lakukan. (24) Pada
hari itu Allah akan menyempurnakan untuk mereka balasan (azab seksa)
yang berhak mereka mendapatnya dan mereka pula akan mengetahui bahawa
Allah ialah Tuhan Yang Maha Adil, lagi nyata keadilanNya. (25) (Lazimnya)
perempuan-perempuan yang jahat adalah untuk lelaki-lelaki yang jahat,
dan lelaki-lelaki yang jahat untuk perempuan-perempuan yang jahat dan
(sebaliknya) perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik
dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik. Mereka
(yang baik) itu adalah bersih dari (tuduhan buruk) yang dikatakan oleh
orang-orang (yang jahat); mereka (yang baik) itu akan beroleh
pengampunan (dari Allah) dan pengurniaan yang mulia. (26)
Comments
Post a Comment